Perpaduan


Negara kita mempunyai rakyat yang berbilang kaum. Hal ini semestinya menuntut perpaduan kaum yang kukuh untuk memastikan keharmonian negara terus terjamin. Perpaduan merupakan sistem hidup yang bersatu padu menerusi ideologi, identiti, dan nilai yang sama.

Perpaduan kaum dalam negara kita telah mewujudkan identiti nasional yang berteraskan perpaduan yang boleh dikongsi bersama dalam pelbagai aspek. Identiti nasional ini telah menyatupadukan pelbagai kumpulan masyarakat dalam negara kita yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza. Seterusnya, melalui amalan perpaduan ini melahirkan budaya persefahaman yang matang dan demokrasi antara kaum.

Perpaduan membantu perkembangan ekonomi terus terjamin. Perpaduan kaum dapat meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui kerjasama ekonomi antara kajm dalam pelbagai sektor. Perpaduan yang kukuh dapat meningkatkan dan memperkembang perindustrian negara. Perkembangan dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia ini menarik pelabur asing untuk melabur di negara kita dan meningkatkan taraf hidup rakyat. Di samping itu, perpaduan yang mewujudkan suasana yang sejahtera dapat menarik pelancong asing ke negara kita dan mampu menaikkan nama negara di persada antarabangsa.

Seterusnya, hubungan yang baik melalui perpaduan kaum dapat merealisasikan aspirasi negara dan misi nasional. Malaysia bermatlamat menjadi negara maju dan seimbang menjelang 2020 akan tercapai melalui sumbangan semua kaum melalui kerjasama dan perpaduan yang erat. Selain itu, melalui misi ini juga negara dapat mencapai status negara yang berdaya saing di peringkat global dan meningkatkan proses pembangunan negara. Kesinambungan kemajuan ini didukung oleh matlamat dan misi melalui perpaduan untuk membentuk masyarakat yang bermoral dan beretika.

Bagi menjamin perpaduan kaum terus dipratikkan oleh rakyat negara kita, pelbagai langkah yang komprehensif telah dan sedang dijalankan. Pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan dapat membentuk perpaduan dalam kalangan generasi baharu dan menjamin perpaduan yang berterusan. Dasar Pelajaran Malaysia membentuk sistem pendidikan yang seimbang dan bersepadu untuk semua kaum di Malaysia. Selain itu, Dasar Pelajaran Malaysia membentuk kurikulum pendidikan yang berorientasikan Malaysia yang menjamin kelangsungan pendidikan kepada semua kaum terus berlaku. Sehubungan dengan itu, bahasa pengantar, sukatan pelajaran, buku teks, peperiksaan, dan latihan guru diseragamkan di peringkat kebangsaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum.

Gagasan 1 Malaysia dibentuk bagi menjaminkan perpaduan kaum melalui Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Gagasan ini menuntut perpaduan kaum melalui kerjasama dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial seperti perniagaan, pendidikan, dan kesihatan. Gagasan ini menekankan identiti bangsa yang berlandaskan bangsa Malaysia yang mewujudkan semangat kekitaan dan menghapuskan sikap permusuhan dalam setiap diri individu di Malaysia. Konsep yang dijalankan secara berterysan dan holistik dapat menjamin kesejahteraan antara kaum sama ada pada masa kini atau pada masa akan datang.

Kesimpulannya, perpaduan memainkan peranan penting dalam menjamin kemajuan negara tercapai dalam keadaan harmoni. Perpaduan negara tidak dapat direalisasiman tanpa sokongan pada semua rakyat di negara kita.


Comments

Popular posts from this blog

Rasuah

Guna Teknologi Moden Tingkat produktiviti sawit

Harimau Asia