Pengangkutan Awam

Pengangkutan awam merupakan satu kemudahan sosial yang disediakan kepada orang ramai bagi memudahkan mereka menjalankan aktiviti harian. Namun begitu, penggunaannya masih mendapat rungutan daripada orang ramai kerana pelbagai masalah yang dihadapi pengguna terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Kemudahan pengangkutan awam yang disediakan dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas. Penggunaan kenderaan awam ini secara tidak langsung dapat mengurangkan bilangan kereta persendirian di jalan raya. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan kenderaan awam membantu mengurangkan kesesakan jalan raya pada waktu puncak terutamanya di bandar-bandar besar seperti bandar raya Kuala Lumpur. Hakikatnya, penggunaan sistem pengangkutan awam menyebabkan pergerakan trafik lebih lancar dan memudahkan semua urusan harian dilaksanakan.

Selain itu, perkhidmatan pengangkutan awam sama ada penggunaan bas, teksi, LRT, atau monorel dapat membantu menjimatkan perbelanjaan orang ramai. Situasi ini disebabkan oleh harga tambang pengangkutan awam yang perlu dibayar oleh pengguna adalah berpatutan. Di samping itu, pengguna juga tidak perlu mengeluarkan kos untuk perkhidmatan kenderaan terutamanya kos bahan api atau minyak kenderaan. Pengguna juga tidak perlu membayar tempat meletak kenderaan dan tol dengan menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Pengangkutan awam yang disediakan terutamanya di kawasan yang sering mengalami kesesakan penduduk dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pengangkutan awam seperti LRT dan monorel mempunyai rekod kemalangan kenderaan yang minimum di negara ini berbanding dengan pengangkutan persendirian. Keadaan ini dapat memastikan tahap keselamatan pengguna di jalan raya terus terjamin dan kepercayaan kepada sistem pengangkutan ini terus meningkat. Hakikatnya, pengangkutan awam terutamanya sistem transit ringan telah diprogram secara sistematik bagi tujuan mengurangkan kesesakan dan kemalangan jalan raya.

Namun begitu, masyarakat masih bersungut tentang perkhidmatan pengangkutan awam negara terutamanya mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan. Sesetengah pemandu awam tidak mematuhi jadual perjalanan. Hal ini menyukarkan pengguna untuk membuat perancangan perjalanan harian mereka. Pengguna terpaksa menanggung risiko lewat sampai ke tempat kerja atau urusan penting yang lain. Permasalahan ini menyebabkan pengguna beranggapan bahawa menggunakan kenderaan persendirian lebih memuaskan berbanding dengan menggunakan kenderaan awam. Keadaan ini ditambahkan lagi dengan kelemahan sistem peralatan kenderaan awam seperti tiada kemudahan penyaman udara dan tempat duduk yang rosak.

Kelemahan perkhidmatan awam yang tidak menyeluruh juga menjadi rungutan banyak orang. Kemudahan pengangkutan awam seperti LRT hanya terletak di kawasan tertentu sahaja dan hanya sebilangan pengguna sahaja dapat menggunakannya. Selain itu, pengguna juga berhadapan dengan masalah semasa hendak menukar sistem pengangkutan dari satu stesen ke stesen yang lain sama ada pertukaran monorel atau bas. Pengguna terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket untuk sistem pertukaran yang menyebabkan urusan mereka menjadi lambat. Keadaan ini dirumitkan lagi dengan kekurangan bas tambahan atau feeder bus di kawasan-kawasan yang sesak seperti di bandar-bandar besar.

Pelbagai langkah telah dan sedang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam negara. Kesungguhan pihak bertanggungjawab untuk menambah baik mutu sistem pengangkutan amatlah diperlukan oleh rakyat untuk terus bersama membangunkan negara.





Comments

Popular posts from this blog

Rasuah

Guna Teknologi Moden Tingkat produktiviti sawit

Harimau Asia